Pilihlah aku untuk IKHLAS..


“Orang yang sibuk melakukan kebaikan tidak akan sempat melihat kejahatan orang lain”

Demikian kata-kata hukamak yang menerjah ruang fikirku. Ah, betapa kurangnya kau melakukan kebaikan..bisik hati kepada diri sendiri. Sehingga mata, telinga, serta indera yang lain masih sempat melihat, menghidu dan menuturkan kejahatan orang lain. Terasa diri amat hina, ketika usia melonjak dengan begitu cepat, diri terasa masih terangkak-rangkak menyusuri jalan taubat.

Betapa sekali-sekala tatkala melakukan kebaikan, diri terasa hebat bukan kepalang. Tanpa sedar RIAK bertandang. Terasa ingin dipamerkan segala-galanya agar dipuji dan disanjung dengan kata-kata dan anugerah manusia. Biar terserlah siapa “aku”, bisik ego diri. Padahal nilai amal yang sebegitu tidak ada harganya walau sedebu. Apatah lagi di sisi Allah yang pastinya tidak akan menerima sebarang sekutu. Dan manusia pun akhirnya akan memandang sinis dan loya dengan "aku"mu itu .

Apabila riak itu adalah tertipu dengan kehadiran manusia, SUM’AH pula terpedaya tanpa kehadiran sesiapa.. Walau tanpa sesiapa di mata tetapi hati masih mengharapkan amal yang KONONnya ‘disembunyikan’ itu diketahui juga oleh manusia. Ah, alangkah indah rasanya apabila amal yang cuba disembunyikan itu diketahui lalu diheboh-hebohkan pula. Ah, hebatnya dia! Begitu kata sanjungan yang dijunjung. Pada ketika itu hati pun berbunga. Aduh, sum'ah lebih dahsyat tipuannya daripada riak!

Apabila terlepas diri daripada keduanya, menanti pula musuh ketiga yang tidak kurang hebatnya.. UJUB! Takjub dan berasa hairan terhadap diri sendiri. Kali ni bukan pujian manusia yang terang mahupun tersembunyi yang diharapkan, tetapi pujian diri terhadap diri sendiri. Betulkah aku? Alangkah hebatnya aku. Terasa diri bagaikan wali apabila amal ibadah mengatasi orang lain. Aku bukan manusia biasa. Aku tinggi mengatasi semua. Ujub hakikatnya lebih sukar dikesan dan dirawat berbanding riak dan sum'ah.

“Bukan mudah untuk IKHLAS”

Ya, benar. Bukan mudah untuk ikhlas. Semakin dicari terasa semakin misteri. Memang ikhlas itu rahsia dalam rahsia Allah. Melakukan sesuatu kebaikan bukan kerana Allah..itu tidak ikhlas. Meninggalkan sesuatu kejahatan bukan kerana Allah..itu pun tidak ikhlas.

Kekadang begitu ikhlas hati ketika memulakan amal, tetapi sampai di pertengahan, kecundang oleh sesuatu yang selain Allah. Ya Allah , aku benar-benar pasrah. Perjuangan untuk ikhlas terlalu sukar dan keliru. Bantu aku meneroka rahsia ini.

Namun..
Beribadahlah sehingga terasa penat untuk melakukan maksiat. Begitu pesan hukamak yang menjadi kompas hati. Buatlah apa sahaja kebaikan sebelum terbit fajar sehingga terbenam matahari.

Ikhlas atau tidak jangan diperkirakan dulu. Jangan mengukur kesempurnaaan di garis permulaan amal. Beramallah walau hati terganggu oleh mazmumah dan ikhlas diintai riak dan sum'ah. Pedulikan ujub yang menati masa untuk menyusup. Tega dan relakan sahaja.

Teringat apa yang dipesankan oleh Imam Ghazali ketika muridnya bertanya, "Tuan, bagaimana keadaanku ketika mulutku berzikir tetapi hatiku masih lalai? Jawab gurunya, “Teruskanlah berzikir walau hatimu lalai kerana sekurang-kurangnya lidahmu akan terselamat daripada kata-kata yang kotor dan sia-sia."

Teringat pula apa yang ditanyakan oleh Abu Hurairah kepada Nabi Muhammad S.A.W. tentang seorang yang mengerjakan solat tetapi mencuri. Lalu Rasulullah S.A.W menegaskan solat orang itu lambat laun akan menghilangkan tabiatnya yang buruk itu.

Jadi, jika dirimu masih melakukan kejahatan, ingatlah itu bukan alasan untuk berhenti melakukan kebaikan. Bahkan iringilah perbuatan dosa itu dengan kebaikan kerana kebaikan lambat laun akan menghapuskan kejahatan.

Memetik kata-kata Dr. Yusuf al-Qaradhawi hafizahullah:

“Sebuah amal daripada amal-amal hati, bahkan IKHLAS merupakan mukadimah kepada amalan hati, ini kerana sesungguhnya penerimaan amal-amal itu tidak akan sempurna kecuali dengan IKHLAS.”


Juga memetik kata-kata al-Imam Ustaz Hassan al-Banna rahimahullah:

“Iaitu setiap al-akh muslim meniatkan dengan perkataannya, perbuatannya dan jihadnya seluruhnya hanya untuk Allah, mengharap keredhaanNya dan kebaikan ganjaranNya, tanpa melihat kepada harta atau kemasyhuran atau kedudukan atau pangkat atau kemajuan atau kemunduran. Dengan demikian itu, jadilah dia pejuang fikrah dan aqidah, bukan pejuang kepentingan dan manfaat (untuk diri sendiri).”


Sesungguhnya..
Aku hanya insan kerdil di lautan rahsia ikhlas yang sangat dalam. Yang terjangkau olehku hanyalah sebutir percikan ombak di permukaannya. Namun, aku juga hamba Allah yang berhak untuk melalui jalan menujuNya.


Ya Allah..
Ketika aku keliru, tunjukkanlah.
Ketika aku lemah, kuatkanlah,
Ketika alpa, ingatkanlah.
Hanya Dikau wahai Allah yang berhak memilih siapa yang berhak dianugerahi RAHSIA IKHLAS itu.
Padaku hanya tadbir..padaMu segala takdir..
bantulah aku meluruskan tadbirku menjurus kepada takdirMu.

PILIHLAH AKU UNTUK IKHLAS...AMEEN




Edited from,
Majalah ANIS-NOV '09

Technician BERJUBAH..??!


Bercakap soal imej muslim, saya teringat satu pengalaman yang agak melucukan yang saya sendiri alami dalam sebuah program Talkshow bersama Nik Nur Madihah, pelajar cemerlang SPM 2008 dari Ma’had Muhammadi lil Banat, Kota Bharu, Kelantan. Tentu ramai yang kenal beliau, lebih-lebih lagi sejak buku khas ‘Catatan Hati Nik Nur Madihah’ telah diterbitkan baru-baru ini..(siapa yang tak kenal tu tak tahu la nak cakap macam mana..). Talkshow tu diadakan pada 30 Mei 2009, di dewan utama SMK Paya Keladi, Pulau Pinang, anjuran Proton Holdings Bhd. Dengan kerjasama al-Jaroom Consultancy (under Ust. Fauzan-bagi sahabat-sahabat yang mengenali beliau).

Alkisah bermula…

Kehadiran saya dalam program tersebut bukanlah sebagai peserta (sebab peserta adalah di kalangan pelajar sekolah menengah dan rendah sahaja, so saya telah ter’out’ dari dua golongan tersebut), tapi kehadiran saya di sana adalah sebagai TECHNICIAN.. (hm,boleh percaya ke?) Percaya atau tidak, itulah yang sebenarnya. Ust Fauzan minta tolong saya gantikan tempat Aminah, sahabat saya (sepatutnya Aminah yang pergi,tapi dia ada exam di UIA Kuantan pada masa tu, jadi terpaksa lah saya jadi bidan terjun..kebetulan saya ada di Kedah ketika itu, cuti 3 bulan sebelum masuk ke Kuantan).

Apa tugas saya di sana? Check PA system, pastikan mikrofon, LCD berfungsi, susunan kerusi dan tempat duduk VIP dalam dewan, laptop ok, PA system gergasi??..hm, tak pernah saya handle PA system sebesar itu seumur hidup saya..

Menapak masuk ke dalam dewan sehari sebelum program (untuk get ready semua perkakas tu), saya ditegur oleh salah seorang guru sekolah itu yang kebetulan ada dalam dewan yang sama..

Guru: “Adik ni siapa?”

Saya: “Saya wakil dari al-Jaroom, Ust Fauzan minta saya datang untuk uruskan pasal PA system untuk program talkshow esok”

Guru: “Owh, jadi ni la technician nya”

(Saya sekadar senyum), dan dia kemudian menyambung bicara;

“..ingatkan technician semua jenis yang rambut blond dan pakai pakaian technician, tapi tak sangka technician kali ni berjubah dan bertudung labuh!”

(Perrgh..panas rasa muka ni..tapi husnuzhon lebih utama, mungkin dia perli, atau mungkin dia betul-betul kagum) tak kisah la semua tu, yang penting saya dapat tunjukkan ‘sesuatu’ pada dia, bahawa tak semua technician tu perlu berpakaian macam technician dan berambut blond. At least saya dah buktikan padanya bahawa golongan yang berjubah dan bertudung labuh juga mampu deal dengan masyarakat dan juga.…PA system! (itu pun setelah diajar cara penggunaanya..huhu). J

Pengalaman tu sesungguhnya sangat berharga, sebagai duta Islam (khususnya buat para muslimah srikandi Islam), kita harus sedar bahawa masyarakat memandang setiap perlakuan dan gerak geri kita. Yang baik harapnya dicontohi, yang buruk harapnya janganlah dikeji, tapi diperbetulkan secara hikmah.

Pengajarannya: Tonjolkan Qudwah Hasanah walau di mana anda berada. Jangan malu ber’imej’ muslim, because WE are the PROMOTER for our PRODUCT (ISLAM itself). Usah Malu Ber'IMEJ' MUSLIM! =)

-Madihah diiring masuk ke dalam dewan-

-Bersama Ustaz Fauzan (kiri) serta guru-guru sekolah SMKPK-



3 Kunci Ketenangan


Bismillahirrahmanirrahim..

Saya teringat prinsip hidup salah seorang sahabat saya, ‘apabila Allah menguji seseorang hamba, itu tandanya Allah menyayanginya..’ Benarkah? Anda tidak akan merasai hakikat kebenaran kata-kata ini sehingga anda mengalaminya sendiri, tak kira apa jua bentuk ujian tersebut. Kesedihan, kekecewaan, penderitaan, tangis dan air mata yang mewarnai dunia kehidupan seseorang yang sedang diuji. Saya cuba mencari, di mana titik kesudahan untuk semua ini? Hikmah apa yang tersembunyi di sebalik ujian yang Allah berikan ini? Ya Allah, saya yakin bahawa tidak Engkau jadikan sesuatu itu dengan sia-sia.. sedangkan para nabi dan rasul juga turut diuji dengan ujian-ujian yang jauh lebih hebat dari ini, namun mereka tidak pernah lemah, tidak pernah berputus asa. Alangkah hebatnya kesabaran mereka!

Mudah-mudahan sedikit perkongsian (daripada emel yang dihantar oleh salah seorang teman saya) di bawah mampu menjawab persoalan serta mengubat hati orang-orang yang sedang diuji.. Ayat-ayat cinta berikut sebagai penenang jiwa dari Allah, yang pernah membuatkan saya menangis saat membacanya.. :

KENAPA AKU DIUJI?
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”

(Surah Al-Ankabut, ayat 2-3)


KENAPA AKU TAK DAPAT APA YANG AKU IDAM-IDAMKAN?
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”

(Surah Al-Baqarah, ayat 216)


KENAPA UJIAN SEBERAT INI?
“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya (kemampuannya).”

(Surah Al-Baqarah, ayat 286)


RASA FRUST?
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.”

(Surah Ali ‘Imran, ayat 139)


BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).”

(Surah Ali ‘Imran, ayat 200)

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”

(Surah Al-Baqarah, ayat 45)


APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu’min diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka…”

(Surah At-Taubah, ayat 111)


KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?
“Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal.”

(Surah At-Taubah, ayat 129)


AKU DAH TAK DAPAT BERTAHAN LAGI!!!!!
“… dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.”

(Surah Yusuf, ayat 12)


Subhanallah..Maha Suci dan Maha Kaya Allah, tidak dibebankan seseorang hamba itu dengan sesuatu ujian melainkan Dia sediakan jalan keluarnya, sebagai wadah agar hamba itu lebih dekat padaNya.

Ada 3 kunci ketenangan yang saya sentiasa pegang dalam menghadapi ujian Allah:

1. SABAR dengan ujian

2. REDHA dengan ketentuan

3.BERSANGKA BAIK (Husnu zhon) dengan Allah, bahawa setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya.

Allah sangat rindu untuk mendengar rintihan dan rayuan hambaNya.. Justeru diuji hamba itu agar hamba itu juga rindu untuk mengadu padaNya..agar hamba itu lebih taqarrub padaNya..agar hamba itu tinggi tawakkal padaNya. Ya Allah, kuatkan aku dalam menghadapi ujian dari-Mu..


“Benarlah, ujian Allah itu tanda kasih sayangNya..

Redha lah untuk mencapai redhaNya..”


Seuntai Madah Pembuka Bicara


Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Alhamdulillah, all praises to Allah, kerana atas nikmat dan rahmatNya, saya masih diberi kesempatan bernafas di muka bumi permai ini pada saat tahun baru Hijri 1432 melebarkan sayapnya. Teringat saya dengan monolog diri sendiri beberapa detik sebelum tirai 1431 dilabuhkan, saya bertanya kepada diri sendiri, apakah azam saya untuk tahun baru ini? Apakah perubahan yang akan saya lakukan apabila melangkah ke suatu dimensi baru hijrah pada kali ini? Apakah yang boleh saya sumbangkan untuk Islam pada tahun baru ini?

Maka pada saat itu hanya satu perkara yang bermain di kotak pemikiran saya. Saya cabar diri sendiri untuk terjun ke medan penulisan blog. Memilih untuk berdakwah melalui MATA PENA di medan jihad kitabah, kerana saya tahu, saya belum mampu untuk menghunus MATA PEDANG di medan jihad qital. Azam yang sebegitu kental, jika tidak diiringi dengan usaha, maka tentu segalanya akan sia-sia. Maka inilah hasilnya. Blog Travelog-Ieman ini sebagai hadiah tahun baru hijri buat saya dan teman-teman yang banyak membantu. Ringkas seadanya, namun moga ianya bermanfaat sebagai medium perkongsian antara saya dan kalian, antara kalian dan saya.

Apa yang saya sangat perlukan saat ini adalah secicip DOA dari kalian, teman-teman yang saya kasihi, agar saya sentiasa dikuatkan hati dan semangat untuk terus ikhlas dan beristiqamah dalam dunia dakwah melalui penulisan ini. Mungkin kehadiran blog ini agak ketinggalan jauh berbanding blog-blog penulis hebat lain yang telah sekian lama bertapak dalam dunia IT ini, tetapi itu bukan alasannya untuk tidak menjadi sehebat mereka.

“Better late than never”.

Seandainya kita tidak mencabar diri kita untuk berubah pada hari ini, jangan mimpi kita akan mampu berubah esok hari. Seribu tapak ke hadapan tetap bermula daripada tapak yang pertama!

Jangan takut berubah. Jangan takut berbeza.

SALAM KENTAL PERJUANGAN buat semua!


“Ya Allah, aku mohon KEBERKATAN, KEREDHAAN, RAHMAT & KASIH SAYANG-MU mengiringi setiap langkahku dalam setiap urusan dan kehidupanku dunia dan akhirat.. Amiin..”