Pilihlah aku untuk IKHLAS..


“Orang yang sibuk melakukan kebaikan tidak akan sempat melihat kejahatan orang lain”

Demikian kata-kata hukamak yang menerjah ruang fikirku. Ah, betapa kurangnya kau melakukan kebaikan..bisik hati kepada diri sendiri. Sehingga mata, telinga, serta indera yang lain masih sempat melihat, menghidu dan menuturkan kejahatan orang lain. Terasa diri amat hina, ketika usia melonjak dengan begitu cepat, diri terasa masih terangkak-rangkak menyusuri jalan taubat.

Betapa sekali-sekala tatkala melakukan kebaikan, diri terasa hebat bukan kepalang. Tanpa sedar RIAK bertandang. Terasa ingin dipamerkan segala-galanya agar dipuji dan disanjung dengan kata-kata dan anugerah manusia. Biar terserlah siapa “aku”, bisik ego diri. Padahal nilai amal yang sebegitu tidak ada harganya walau sedebu. Apatah lagi di sisi Allah yang pastinya tidak akan menerima sebarang sekutu. Dan manusia pun akhirnya akan memandang sinis dan loya dengan "aku"mu itu .

Apabila riak itu adalah tertipu dengan kehadiran manusia, SUM’AH pula terpedaya tanpa kehadiran sesiapa.. Walau tanpa sesiapa di mata tetapi hati masih mengharapkan amal yang KONONnya ‘disembunyikan’ itu diketahui juga oleh manusia. Ah, alangkah indah rasanya apabila amal yang cuba disembunyikan itu diketahui lalu diheboh-hebohkan pula. Ah, hebatnya dia! Begitu kata sanjungan yang dijunjung. Pada ketika itu hati pun berbunga. Aduh, sum'ah lebih dahsyat tipuannya daripada riak!

Apabila terlepas diri daripada keduanya, menanti pula musuh ketiga yang tidak kurang hebatnya.. UJUB! Takjub dan berasa hairan terhadap diri sendiri. Kali ni bukan pujian manusia yang terang mahupun tersembunyi yang diharapkan, tetapi pujian diri terhadap diri sendiri. Betulkah aku? Alangkah hebatnya aku. Terasa diri bagaikan wali apabila amal ibadah mengatasi orang lain. Aku bukan manusia biasa. Aku tinggi mengatasi semua. Ujub hakikatnya lebih sukar dikesan dan dirawat berbanding riak dan sum'ah.

“Bukan mudah untuk IKHLAS”

Ya, benar. Bukan mudah untuk ikhlas. Semakin dicari terasa semakin misteri. Memang ikhlas itu rahsia dalam rahsia Allah. Melakukan sesuatu kebaikan bukan kerana Allah..itu tidak ikhlas. Meninggalkan sesuatu kejahatan bukan kerana Allah..itu pun tidak ikhlas.

Kekadang begitu ikhlas hati ketika memulakan amal, tetapi sampai di pertengahan, kecundang oleh sesuatu yang selain Allah. Ya Allah , aku benar-benar pasrah. Perjuangan untuk ikhlas terlalu sukar dan keliru. Bantu aku meneroka rahsia ini.

Namun..
Beribadahlah sehingga terasa penat untuk melakukan maksiat. Begitu pesan hukamak yang menjadi kompas hati. Buatlah apa sahaja kebaikan sebelum terbit fajar sehingga terbenam matahari.

Ikhlas atau tidak jangan diperkirakan dulu. Jangan mengukur kesempurnaaan di garis permulaan amal. Beramallah walau hati terganggu oleh mazmumah dan ikhlas diintai riak dan sum'ah. Pedulikan ujub yang menati masa untuk menyusup. Tega dan relakan sahaja.

Teringat apa yang dipesankan oleh Imam Ghazali ketika muridnya bertanya, "Tuan, bagaimana keadaanku ketika mulutku berzikir tetapi hatiku masih lalai? Jawab gurunya, “Teruskanlah berzikir walau hatimu lalai kerana sekurang-kurangnya lidahmu akan terselamat daripada kata-kata yang kotor dan sia-sia."

Teringat pula apa yang ditanyakan oleh Abu Hurairah kepada Nabi Muhammad S.A.W. tentang seorang yang mengerjakan solat tetapi mencuri. Lalu Rasulullah S.A.W menegaskan solat orang itu lambat laun akan menghilangkan tabiatnya yang buruk itu.

Jadi, jika dirimu masih melakukan kejahatan, ingatlah itu bukan alasan untuk berhenti melakukan kebaikan. Bahkan iringilah perbuatan dosa itu dengan kebaikan kerana kebaikan lambat laun akan menghapuskan kejahatan.

Memetik kata-kata Dr. Yusuf al-Qaradhawi hafizahullah:

“Sebuah amal daripada amal-amal hati, bahkan IKHLAS merupakan mukadimah kepada amalan hati, ini kerana sesungguhnya penerimaan amal-amal itu tidak akan sempurna kecuali dengan IKHLAS.”


Juga memetik kata-kata al-Imam Ustaz Hassan al-Banna rahimahullah:

“Iaitu setiap al-akh muslim meniatkan dengan perkataannya, perbuatannya dan jihadnya seluruhnya hanya untuk Allah, mengharap keredhaanNya dan kebaikan ganjaranNya, tanpa melihat kepada harta atau kemasyhuran atau kedudukan atau pangkat atau kemajuan atau kemunduran. Dengan demikian itu, jadilah dia pejuang fikrah dan aqidah, bukan pejuang kepentingan dan manfaat (untuk diri sendiri).”


Sesungguhnya..
Aku hanya insan kerdil di lautan rahsia ikhlas yang sangat dalam. Yang terjangkau olehku hanyalah sebutir percikan ombak di permukaannya. Namun, aku juga hamba Allah yang berhak untuk melalui jalan menujuNya.


Ya Allah..
Ketika aku keliru, tunjukkanlah.
Ketika aku lemah, kuatkanlah,
Ketika alpa, ingatkanlah.
Hanya Dikau wahai Allah yang berhak memilih siapa yang berhak dianugerahi RAHSIA IKHLAS itu.
Padaku hanya tadbir..padaMu segala takdir..
bantulah aku meluruskan tadbirku menjurus kepada takdirMu.

PILIHLAH AKU UNTUK IKHLAS...AMEEN




Edited from,
Majalah ANIS-NOV '09

1 comments:

Anonymous said...

ikhlas itu seperti semut hitam, di atas batu hitam, di malam yang hitam... tak nampak dek mata..